Wednesday, December 9, 2015

Petua #5 Hidup Senang - Hiduplah Dengan Jujur, Perangi Korupsi Dan Penipuan

Tidak dinafikan ramai orang menjadi kaya hasil dari wang suap, penipuan dan bermacam-macam lagi taktik kotor. Di zaman serba moden ini, jumlah umat manusia yang ramai dan jurang ekonomi yang melebar antara yang kaya dan yang miskin membuatkan kita semakin terkejar-kejar dan terdesak untuk merebut harta. Tidak sedikit manusia yang mengambil jalan pintas untuk berjaya.

Kesenangan Kita, Kesusahan Orang Lain


Kesenangan yang kita nikmati secara fitrahnya menyusahkan orang lain. Contohnya jika kita bercuti melancong di hotel, terasa bahagia bila ada yang mengemaskan katil dan tandas, makanan yang enak-enak terhidang siap untuk dijamah dan ada porter yang mengangkat beg-beg yang sarat. Semua usaha ini yang sepatutnya terpaksa kita lakukan sendiri, tapi bila kita bayarkan upah akan dilaksanakan oleh orang lain. Situasi ini adil jika kita sendiri telah bersusah-payah bekerja di masa sebelumnya. Bak kata pepatah, berakit-rakit ke hulu berenang-berenang ke tepian, bersakit-sakit dahulu bersenang-senang kemudian. Saya juga amat setuju dengan konsep 'work hard, play hard'.

Walau bagaimanapun, segelintir manusia yang bersikap mementingkan diri sendiri memilih untuk meraih keuntungan tanpa melakukan kerja yang sepadan. Contohnya makan gaji tetapi tidak melakukan kerja dengan bersungguh berpadanan dengan gaji yang diberi. Ataupun mengambil rasuah / faedah di tepi dari kerja meluluskan tender untuk orang-orang tertentu. Perkara ini sebenarnya adalah sesuatu kejahatan yang perlu dibanteras jika anda menginginkan kekayaan berpanjangan.

Harta Yang Kekal Berpanjangan


Tahukan anda, wang ringgit yang kita simpan di dalam dompet atau di bank itu hanya sekadar angka ? Sejarah membuktikan bila korupsi berlaku berleluasa seperti di Zimbabwe, Weimar Republic (Germany) dan Empayar Roman, ia akan dituruti oleh kegawatan ekonomi sehingga wang ringgit bertimbun penuh kereta sorong boleh jadi tidak bernilai untuk membeli sebuku roti pun.

Harta yang berkekalan sebenarnya adalah kesudian orang lain untuk membantu diri kita dengan jujur dan amanah. Jika anda tiada duit, tetapi kawan anda sedia berbudi membantu membaiki rumah anda, itulah kekayaan yang hakiki. Dan kekayaan ini hanya dapat dikumpul dengan berbudi membantu orang lain, memelihara hubungan baik dengan mereka, serta bersikap jujur dan adil dengan masyarakat.

Anda memang boleh jadi kaya dengan secara tidak jujur seperti beberapa pengasas MLM (multi-level marketing) yang menipu orang-orang bawahan mereka. Tetapi perniagaan MLM itu tidak akan berkekalan dan untuk terus hidup, mereka ini terpaksa membuka skim MLM yang lain pula. Begitu juga majikan atau syarikat yang menipu pekerja mereka akan mendapat reputasi yang buruk bila dijaja atau disaman oleh bekas pekerja. Percayalah, wang berjuta yang diraih dari hasil yang tidak jujur akan mengalir keluar seperti sungai yang deras. Di penghujungnya, anda atau anak cucu akan terpinggir sepi.

Orang yang mencintai wang ringgit semata-mata akan dicintai oleh orang-orang lain yang sama sikapnya. Bila anda sakit dan kehabisan wang, kawan-kawan yang cinta wang anda akan menjadi lawan.



Seterusnya


Silakan ke catatan yang berikutnya: Petua #6 Hidup Senang - Pelihara Rezeki Anda Dengan Baik

No comments:

Post a Comment