Monday, December 7, 2015

Petua #2 Hidup Senang - Tampilkan Diri Dan Keistimewaan Anda

Dalam Petua #1 sebelum ini, telah saya tekankan mengenai konsep membantu orang lain. Tetapi, anda hanya dikatakan berjaya membantu seseorang jika orang yang dibantu itu benar-benar memerlukan dan mengalu-alukan bantuan tersebut. Orang yang berusaha membantu dalam perkara yang dirasakan tidak perlu malah akan dianggap sebagai seorang penyibuk. Sia-sia sahaja usaha anda seperti mencurah air ke daun keladi.

Rajin-rajin Bertanya Apa Dan Siapa Yang Perlu Dibantu


Kerana itu, anda mestilah bertanya dahulu kepada masyarakat sekitar untuk mengetahui keperluan mereka. Amalan ini memerlukan motivasi, disiplin, keyakinan diri dan sedikit kebijaksanaan dalam berkomunikasi dengan orang ramai. Jika anda boleh mendekati dua puluh orang berbeza dan mengorek masalah yang mereka hadapi, anda boleh berjaya ! Dan bayangkan untuk dua puluh orang yang pertama, anda hanya perlu mendekati orang-orang yang anda sudah kenal: adik-beradik, kawan-kawan dan sanak-saudara.

Lama-kelamaan bila sudah ada pengalaman, anda sudah tahu pendekatan dan teknik yang sesuai untuk digunakan dengan orang-orang yang belum anda kenal. Secara tak langsung, cara ini juga membuka peluang untuk menambah kawan. Bak kata pepatah 'berkawan biar seribu, berkasih biar satu'.

Sentiasa Bina Dan Kembangkan Rangkaian Servis Anda


Ramai orang yang pandai dan berkemahiran di dunia ini, tetapi kebanyakan mereka kekal makan gaji. Apa sebabnya anda rasa ? Jawapannya ialah
  1. tidak pandai menampilkan diri dan kemahiran kepada bakal pelanggan
  2. selesa dengan gaji bulanan dan faedah syarikat, malas untuk bersusah membantu orang lain
  3. kurang masa, terkekang dengan waktu ofis, kesesakan lalu-lintas dan urusan anak bini

Tidak salah bagi mereka di atas untuk memilih gaya hidup sendiri. Tetapi ini peluang terhidang untuk anda. Jika anda memerhati dengan teliti, ramai pemilik syarikat atau pengurus bukanlah orang-orang yang pakar dan berkemahiran. Tetapi mereka bijak bercakap, pandai mencari projek dan client untuk syarikat mereka. Jadi, jangan risau jika anda hanya memiliki sijil SPM. Sudah terbukti lepasan SPM pun boleh jadi jutawan !

Rahsianya ialah dengan mencari orang yang memerlukan bantuan, dan kemudian sama ada anda selesaikan masalah itu sendiri, atau anda cari orang yang boleh membantu menyelesaikan masalah itu. Kunci kejayaan ini ialah network, network, network.

Bina Jenama Anda Secara Bersahaja Tetapi Konsisten


Kadangkala, orang yang anda cuba bantu sangat liat dan enggan berkongsi masalah dengan anda. Bila menghadapi situasi seperti ini, jangan stress atau panik. Pastikan anda telah mengenalkan diri anda dan bagaimana anda mungkin membantu. Paling bagus jika anda kongsikan business card dengan nama, nombor telefon, email dan servis yang anda sediakan tertera dengan jelas. Kalau ada budget lebih, sediakan fridge magnet atau T-Shirt dengan nama, nama syarikat dan nombor telefon. Objektifnya supaya jenama anda dan syarikat sentiasa terlekat di kepala pelanggan sehinggalah sampai masa hatinya terbuka untuk memanggil bantuan anda.

Jika anda penonton setia Anugerah Juara Lagu sekitar 2014-2015, tentu anda pernah melihat iklan "Qu Puteh Qu Puteh, Barulah Puteh". Ada yang terhibur, tetapi ramai juga yang memaki hamun kerana dikatakan iklan tersebut terlalu kerap dan over. Sampai Chef Wan pun tutup TV dengarnya. Oleh itu, bersederhanalah dalam usaha anda untuk mendekati bakal pelanggan. Jangan bersikap terlalu memaksa, tapi buatkan mereka tahu bahawa anda sentiasa ada di sisi bila mereka memerlukan.

Seterusnya


Silakan ke catatan yang berikutnya: Petua #3 Hidup Senang - Usaha Dan Fokus Tangga Kejayaan


No comments:

Post a Comment