Monday, December 7, 2015

Petua #3 Hidup Senang - Usaha Dan Fokus Tangga Kejayaan

Kadang-kadang selalu terjadi kepada kita di mana selepas bersusah payah berusaha untuk mendapatkan sesuatu, usaha tersebut gagal dan mengecewakan kita. Mengapakah perkara ini terjadi ? Ada beberapa sebab:
  1. Usaha yang tidak betul langkahnya, seperti memasukkan blok mainan bentuk empat segi dalam ruang bentuk bulat. Atau membaca di internet tanpa menyalin nota dan bersedia untuk belajar: pasti akan terlupa.
  2. Usaha yang tidak kena pada masa, contohnya membeli kereta sorong untuk bayi sebelum bernikah.
  3. Usaha yang tidak berfaedah, contohnya berhutang dahulu tanpa bercadang untuk menambah pendapatan.
  4. Usaha yang tidak fokus, buat setengah projek sana, setengah projek sini, akhirnya langkah-langkah bercampur aduk, tidak siap mengikut waktu dan tidak membantu malah menyusahkan orang lain.
  5. Musibah atau faktor alam yang tak dapat dielakkan.
Jika kita amati sebab No. 4 di atas, fokus boleh menyebabkan masalah-masalah No. 1 hingga 5 timbul. Salah satu faktor penting yang menjamin kejayaan dan seterusnya hidup senang ialah tumpuan atau fokus dalam berusaha.

Masalah Dan Stress Akan Mengaburkan Tumpuan


Bila kita mula-mula berniaga dengan modal yang kecil, segala-galanya dirasakan susah dan menyesakkan. Nak daftar nama syarikat perlukan duit, nak sewa tapak berniaga perlukan duit, nak beli peralatan perlukan duit. Bila anda tersepit seperti ini, akal kita yang hebat ini mulalah menerawang mencari cara-cara kreatif untuk menjanakan duit yang diperlukan. Tapi hentikan angan-angan anda !

Bila anda mula berangan, tumpuan anda akan kabur. Masa anda terbuang tanpa hasil. Langkah anda terhuyung-hayang dan akhirnya boleh tersungkur. Mungkin juga anda akan tertipu dengan imaginasi sendiri atau kawan anda lalu terikut-ikut sehingga jatuh ke dalam lembah kegagalan.

Tak Mustahil Ada Sepuluh Syarikat Dan Gagal


Ingat ! Cara paling mudah untuk membuat duit ialah dengan mencari orang jujur yang ada duit, bantu orang itu dan minta ganjaran yang setimpal. Jangan angan-angankan bisnes apa, tapi tanyalah orang di sekeliling anda apakah keperluan mereka. Jangan dengar mainan akal atau bicara kawan seorang dua, tapi dengarlah permintaan dari sepuluh atau dua puluh orang.

Saya dan ramai kawan-kawan perniagaan sudah pernah melalui tempoh kreatif menceburi pelbagai bidang hanya kerana bunyinya yang menarik. Akhirnya ada yang kecundang walaupun memiliki pelbagai jenis perniagaan berlainan dengan hutang yang bertimpa-timpa. Bila anda berniaga untuk memenuhi minat atau idea diri-sendiri, anda bermain dengan nasib: mungkin ada yang sekepala dengan anda akan membeli, tapi besar kemungkinan anda berangan berseorangan.


Usaha Dan Fokus Tangga Kejayaan


Kembali kepada tajuk catatan ini, bagi saya cara yang terbaik memulakan perniagaan atau usaha anda adalah seperti berikut:
  1. Kenalpasti keperluan umum yang terbesar.
  2. Cari jalan untuk memenuhi keperluan tersebut: kenalpasti pembekal, tenaga pakar atau pekerja. Kalau boleh minimumkan kos tanpa beli peralatan atau sewa tapak. Jadi broker atau orang tengah pun boleh hidup senang beb. 
  3. Jaja dan iklankan diri dan syarikat anda. Tampilkan dan pahat jenama di minda bakal pelanggan.
  4. Jual perkhidmatan atau produk kepada orang-orang yang anda percayai jujur

Pentingkah Minat ?

Ada orang yang mengatakan tidak mahu bekerja atau berniaga kerana tidak minat. Sebenarnya perasaan ini hanyalah bisikan kecil yang mengganggu-gugat potensi anda untuk hidup senang. Perasaan ini boleh diatasi bila anda fokus dan yakin bahawa kejayaan anda bergantung kepada kehendak orang ramai, bukan emosi anda sendiri.

Adalah amat baik jika keperluan masyarakat selari dengan minat anda, tapi tidak semestinya. Jika anda boleh hidup senang, anda masih boleh menjalankan aktiviti dan minat anda dalam masa yang terluang. Tetapi masa lapang ini hanya akan wujud jika terdapat permintaan yang besar terhadap perkhidmatan anda sehingga dapat menjana pendapatan yang berterusan dan menggaji pekerja.

Bila perniagaan pertama anda sudah dapat menjana pendapatan berterusan dan boleh menggaji pekerja-pekerja yang mengambil alih tugas anda, barulah anda boleh melangkah seterusnya ke Petua #4 Hidup Senang - Pelbagaikan Usaha dan Punca Rezeki Anda.

Seterusnya




Nota: Jika ingin cuba berniaga, mulakan dengan modal sendiri yang anda kira sudah hangus. Elakkan berhutang kecuali untuk keperluan asas seperti makan-minum, belanja pakaian dan perjalanan. Jika anda tersepit berhutang dengan banyak tanpa jalan keluar, ada masa ianya lebih baik dan mudah untuk mengisytiharkan diri anda muflis dan mulakan hidup baru. Jangan biarkan masalah membiak dan menyesakkan fikiran anda !

No comments:

Post a Comment