Monday, December 7, 2015

Petua #4 Hidup Senang - Pelbagaikan Usaha dan Punca Rezeki Anda

Sebelum saya teruskan, ingin saya tekankan bahawa Petua #4 ini sah diguna pakai oleh sesiapa pun, walau di mana jua anda berada. Bagaimanapun, tidak mudah untuk mempelbagaikan usaha, mengerah kudrat anda pada lebih dari satu projek pada satu-satu masa.

Fokus Dulu, Kemudian Pelbagaikan


Oleh itu, saya ingin menekankan kepada yang ingin mengamalkan Petua #4 ini untuk memiliki sekurang-kurangnya satu perusahaan yang berjaya. Atas sebab ini jugalah kadang-kadang kita terdengar nasihat dari orang yang berpengalaman supaya jangan berhenti kerja serta-merta, tapi cubalah berniaga part time dahulu. 

Gunakan Pendapatan Sedia Ada Untuk Menjana Pendapatan Berganda


Memang tidak mudah, mendengarnya sahaja sudah meresahkan. Tetapi cuba anda bayangkan jika  sebahagian gaji anda diupahkan kepada pelajar universiti untuk menggerakkan bisnes atau usaha kedua anda. Jika anda makan gaji, anda boleh menggunakan khidmat kerja intern untuk membantu dalam projek lain syarikat di samping anda melakukan kerja-kerja utama anda. Yakinlah anda boleh melakukannya !

Bermula dengan pendapatan yang sedia ada hari ini, anda sudah boleh bermula mencari keperluan orang ramai. Malah, saya mencadangkan supaya tidak meninggalkan baki dalam akaun simpanan kecuali wang kecemasan iaitu cukup untuk setahun belanja keperluan asas keluarga. Sebabnya berkaitan dengan teori ekonomi, dan satu hari nanti saya akan ceritakan kenapa dalam catatan yang lain.

Jika usaha kedua berjaya, anda akan mendapat ganjaran pendapatan yang lebih. Kalaupun anda gagal, anda tetap mempelajari sesuatu dari kegagalan itu. Yang paling baik, pendapatan sedia ada masih dapat untuk menampung kegagalan anda. Saya sendiri berpegang kepada prinsip 'sediakan pelampung sebelum terjun', bukannya 'untung batu timbul, untung sambut tenggelam'.

Kepelbagaian Mengurangkan Risiko


Anda mungkin memiliki pendapatan berterusan hari ini. Bagi yang makan gaji tentulah selesa; kadang-kadang tiada kerja di atas meja, namun gaji tetap masuk. Tetapi tiada siapa yang tahu apa akan terjadi pada hari esok. Jika kita memiliki lebih dari satu punca pendapatan, risiko terputus rezeki akan berkurang lebih-lebih lagi jika bidang yang anda ceburi berlainan antara satu sama lain. Contohnya, penanam padi yang juga berternak ayam; jika ayamnya sakit dan mati sereban dia masih memiliki padi untuk dijual dan dimakan. Penternak ayam yang tidak memiliki punca pendapatan kedua berkemungkinan besar akan menjadi miskin papa kedana.

Peluang Menambah Ilmu Dan Kawan


Bila anda memulakan perniagaan atau usaha kedua, anda sebenarnya sedang melangkah ke arah proses pembelajaran dalam alam baru. Ini adalah sesuatu yang bagus dan akan menjadi pengalaman berharga buat anda. Apalah erti kehidupan jika kita sentiasa duduk selesa di suatu tahap. Bukankah bagus jika kita dapat mempelajari pengetahuan dan meneroka tempat yang baru ?

Anda juga bakal bertemu dengan wajah-wajah baru dengan kepakaran yang berbeza dengan anda. Inilah peluang untuk mengembangkan rangkaian bisnes anda. Tahukah anda, produk baru selalunya tercipta bila dua (atau lebih) kepakaran berbeza bertemu dan menggabungkan idea mereka ?

Seterusnya


Silakan ke catatan yang berikutnya: Petua #5 Hidup Senang - Hiduplah Dengan Jujur, Perangi Korupsi Dan Penipuan

No comments:

Post a Comment