Thursday, November 26, 2015

Petua #1 Hidup Senang - Bantu Dan Senangkan Hidup Orang Lain

Percayalah. Kalau anda nak hidup senang, langkah yang betul bermula dengan membantu memenuhi keperluan orang lain. Apakah rahsia di sebalik nasihat yang ringkas ini ?

Bantu-membantu Sebahagian Lumrah Alam Yang Kaya


Simbiosis


Alam secara semulajadi telah diaturkan sebegitu rupa di mana setiap yang hidup itu ada yang saling bantu membantu antara satu sama lain. Lalat ada tugasnya, lembu ada peranannya, rumput juga ada kegunaannya. Setiap invidividu ada kebolehan tersendiri, tetapi bermanfaat kepada semua. Bayangkan kalau tiada organisme yang mereputkan tahi lembu, tidakkah padang rumput busuk selama-lamanya ? Konsep bantu-membantu ini dalam bahasa sains dinamakan simbiosis.

Begitu juga kita manusia. Setiap orang memiliki ilmu dan kebolehan tersendiri yang mendatangkan manfaat. Cuba fikirkan, dapatkah anda melakukan atau menghasilkan semua benda di bawah sekaligus  ?
  1. Masak, basuh & gosok baju, kemas rumah
  2. Mengasuh anak
  3. Mengajar anak subjek matematik, sains, sejarah, dll.
  4. Rumah
  5. Perabot
  6. Kereta
  7. Cipta TV, Mesin Basuh, Komputer, Internet
  8. dan lain-lain lagi...
Jawapannya sudah tentu tidak bukan ?

Hidup Senang = Mampu Mendapat Pelbagai Manfaat Dalam Masa Yang Singkat


Semua perkara di dalam senarai di atas merupakan keperluan di zaman ini. Tetapi satu-satunya cara anda dapat meraih manfaat-manfaat di atas dalam satu kehidupan ialah dengan bantu-membantu antara satu sama lain di dalam satu masyarakat.

Oleh itu, cara yang pasti untuk hidup senang ialah dengan 
  1. mengenali atau berinteraksi dengan sebanyak orang/kawan yang mungkin
  2. membantu mereka
  3. mengalu-alukan mereka untuk membantu anda

Bantu Orang Lain Hidup Senang


Bila anda membantu masyarakat yang ikhlas, jujur dan adil, ia akan membantu anda kembali sebagai pertukaran yang setara. Konsep dahulu kita panggil sistem barter, zaman ini kita guna matawang. Anda hanya perlu keluarkan modal untuk membantu, dan orang yang anda bantu akan membayar semula modal tersebut, ditambah dengan upah untuk masa anda. Sama ada berniaga sendiri atau makan gaji, konsep ini tetap sah untuk digunapakai.

Satu rahsia yang belum diketahui ramai ialah, kekayaan ini sebenarnya bukanlah satu benda yang terbatas jumlahnya sehingga kita terpaksa berebut-rebut, menipu dan menikam belakang kawan,  dan menjatuhkan orang lain. Oh tidak tidak tidak ! Bila kita sama-sama bekerja dengan ikhlas, teratur dan kena caranya, semua orang akan mendapat manfaat.

Andaikan tiga buah keluarga yang terdiri dari sepuluh anggota sama-sama membina tiga buah rumah, ketiga-tiganya beroleh rumah untuk diduduki. Yang menjadi masalah ialah bila ada anggota yang mementingkan diri, mungkir janji dan menarik diri bila rumahnya telah siap. Tetapi kalau kita sentiasa ditakutkan dengan adanya kemungkinan orang lain menipu kita, kita akan selama-lamanya tidak mampu untuk mendirikan rumah tersebut dengan tenaga dua tiga orang.

Hidup Penuh Dengan Masalah = Peluang Anda Untuk Hidup Senang


Satu perkara yang meyakinkan saya bahawa bukan susah untuk menjadi senang ialah lumrah kehidupan yang penuh dengan masalah. Semua orang akan sentiasa dilanda masalah termasuk diri anda sendiri, dan itu peluang yang mencurah-curah untuk setiap individu untuk membantu orang lain. Nampak tak ? Pintu rezeki itu sentiasa terbuka; hanya anda yang perlu mencari mangsa masalah untuk diselesaikan.

Tapi jangan pulak anda memandai-mandai menambah masalah kepada orang lain ! Memanglah rezeki takkan bertambah dengan cara tu !

Jangan Takut Ditipu Bila Membantu


Mungkin anda ada pengalaman ditipu oleh orang yang anda anggap sebagai kawan, tapi jangan biarkan kepahitan pengalaman itu membuat diri anda putus asa untuk membantu orang lain. Jika dalam sepuluh orang yang anda bantu, tetapi hanya lima yang jujur dan membantu anda semula; itu sudah merupakan satu kemenangan, dengan syarat anda tidak menggadaikan semua harta dalam usaha tadi. Oleh kerana itu, saya turut menekankan Petua #4 Hidup Senang - Pelbagaikan Usaha dan Punca Rezeki Anda.

Satu teknik yang saya gunakan bila membantu orang yang belum dikenali hati budinya ialah dengan mengeluarkan sebahagian harta atau usaha dengan jumlah yang saya kira sebagai sedekah. Jika ditipu, saya tahu apa yang saya keluarkan tidak menjejaskan kehidupan saya. Saya tidak putus asa dan boleh meneruskan kehidupan; mencari orang lain untuk dibantu. Saya juga yakin saya boleh mula berniaga dengan modal RM 20 pun. Ikuti blog ini untuk mengetahui caranya.

Elakkan Bahaya Parasit


Tidak dinafikan ada segelintir manusia yang suka menerima bantuan orang lain, tetapi tidak mahu membantu. Di alam pokok dan haiwan pun terdapat spesis parasit sebegini, contohnya lintah, nyamuk, pokok langsuyar / langsuir dsbnya. Parasit itu maksudnya makhluk yang hidup senang di atas penghasilan orang lain tanpa memberi faedah. Kalau peribahasa kita, 'seperti menanggung biawak hidup'. Kadang-kadang adik-beradik atau ayah sendiri menjadi parasit kepada kita.

Cadangan saya jika anda menghadapi parasit ini, berbuat baiklah kepada mereka sekadar lepas makan-minum mereka dan tidak lebih dari itu. Kita berharap insan-insan seperti ini supaya sedar satu hari nanti dan kembali bermanfaat kepada masyarakat. Mungkin anda juga boleh berkongsi petua-petua saya ini dengan mereka supaya kita sama-sama dapat beroleh kejayaan.

Tidak Membantu Orang Lain Akan Menyusahkan Anda


(Jangan) Kerja Kuat Tapi Hidup Sendiri

Jika anda hidup seorang diri tanpa manfaat kepada orang lain, anda akan mengalami kesusahan yang teramat sangat. Anda terpaksa melakukan semuanya sendiri tanpa dapat bertukar pengetahuan atau perkhidmatan. Bayangkan jika rumah anda diperbuat dari kayu atau lumpur yang hampir roboh kerana anda tidak pandai membuat rumah. Begitu juga tiada sofa; hanya lantai tanah yang sejuk kerana tidak tahu membuat karpet dan perabot. Begitulah lumrah kehidupan seorang diri walau serajin mana pun anda.

Lagi contoh terbaik boleh dilihat bila dibandingkan penduduk kampung dan bandar. Penduduk kampung tidak dinafikan kuat bekerja, tetapi untuk membeli motosikal masih perlu ke pekan atau bandar. Gaji yang ditawarkan di bandar juga akan lebih tinggi kerana aktiviti ekonomi yang lebih rancak menguntungkan pemilik perniagaan. Jika penduduk kampung bertani untuk diri sendiri sahaja, dia akan malah menjadi lebih miskin.

(Jangan) Hidup Di Tengah Masyarakat Tapi Malas Kerja

Oleh kerana kita perlu memberi manfaat kepada diri sendiri dan orang lain, jadi kita bekerja. Jika anda malas bekerja dan dilihat tidak membantu oleh orang lain, anda akan kehilangan modal dan peluang untuk bertukar perkhidmatan, pengetahuan atau produk dengan orang lain. Syarikat-syarikat tidak suka mengambil anda bekerja jika anda seorang yang pemalas. Kalau diambil bekerja pun, anda tidak akan diberikan kenaikan pangkat atau gaji. Masyarakat akan kurang menawarkan peluang-peluang yang lebih hebat kepada orang yang dilihat sebagai pemalas.

Seterusnya


Silakan ke catatan yang berikutnya: Petua #2 Hidup Senang - Tampilkan Diri dan Kepakaran Anda.

Pendahuluan



Dalam menempuh perjalanan hidup ini, setiap insan pasti pernah terlintas di fikiran akan satu niat: kalau aku hidup senang nanti, aku nak ....

  1. beli kereta Ferrari
  2. hantar mak bapak ke Mekah
  3. jalan-jalan di serata dunia
  4. sambung belajar sehingga dapat PhD
  5. buka kebun anggur
  6. dan bermacam-macam idea lagi


Persoalannya, kenapakah niat itu sering terhenti dengan KALAU ?

Sebenarnya kawan-kawan, bukannya susah untuk kita hidup senang. Di negara kita sahaja sudah ada puluhan ribu millionaire atau jutawan. Mengikut statistik tahun 2013, terdapat 13800 jutawan di Kuala Lumpur sahaja. Saya ulang sekali lagi, bukan susah nak hidup senang.

Walaupun saya bukanlah bergelar seorang jutawan pada masa ini, tetapi perjalanan saya ke arah destinasi itu sudah hampir sampai. Pada umur 31 tahun, saya sudah berhenti kerja, hampir bebas hutang, memiliki simpanan, kereta dan syarikat sendiri. Dan saya yakin dalam masa 2-3 tahun lagi saya sudah boleh bergelar jutawan. Ini kerana saya telah mengkaji dan merungkaikan rahsia bagaimana untuk hidup senang. Mahukah anda jika saya kongsikan rahsia tersebut ?

Definisi Hidup Senang


Bila saya katakan hidup senang, bukanlah bermaksud ada bini empat, anak seratus dan mahligai di atas bukit. Oh tidak tidak tidak ! Kalau anda ingin kaya seperti arwah Muammar Gaddafi, teknik itu tidak akan dijumpai di sini. Kalau anda ingin kaya seangkatan dengan Syed Mokhtar Albukhary, Tony Fernandes atau Vincent Tan, tolong cari dan tanya mereka. Saya tahu bagaimana mereka menjadi sekaya itu, tetapi saya tidak mahu anda terlalu kaya seperti mereka. Tak perlu hidup terlalu kaya: itu menyerabutkan kepala sahaja, bukan hidup senang. Akan saya ceritakan satu hari nanti dengan panjang lebar.

Bila saya katakan saya akan bantu anda untuk hidup senang, saya mahu anda hidup senang seperti saya: bebas hutang, bebas untuk melaksanakan impian anda, bebas untuk hidup tanpa rasa bimbang pasal duit, pangkat, boss di ofis, atau kedudukan anda dalam masyarakat.

Petua Hidup Senang Yang Ikhlas Lagi Benar, Bukan Skim Cepat Kaya


Ini bukan skim cepat kaya. Bukan MLM atau perniagaan. Apa yang saya kongsikan di sini adalah ilmu yang bakal membantu anda ke arah kehidupan yang menyenangkan. Kalau saya nak niagakan ilmu ini pun mungkin satu hari nanti dalam bentuk buku atau e-book. Itupun kalau ada permintaan dari pembaca, dan bukan sekarang. Anda tahu tak kenapa saya sanggup menghabiskan masa menulis berjela-jela di sini ?

Ini kerana petua yang pertama untuk hidup senang adalah: Petua Hidup Senang #1-Bantu Dan Senangkan Hidup Orang Lain. Hahaa kenapa, anda tak percaya ? Nanti akan saya huraikan lagi dalam post seterusnya.....


Nota: semua konsep-konsep dalam blog ini tidak terbatas kepada perniagaan. Walaupun anda makan gaji, hakikatnya majikan, pengurus, penyelia, jabatan dan pekerja lain adalah pelanggan anda. Bantu orang yang betul, tampilkan personaliti yang unggul, tumpukan usaha dengan bijak, bahagikan masa dengan baik dan kejayaan akan berada dalam genggaman ANDA !